July 27, 2009

Emosi Itu Wujud - Saya Juga Ahlinya

maaf saya utarakan buat sekalian pembaca,
hari ini, perihal emosi akan saya sentuh,
bukan apa, kerna saya juga manusia,
yang pernah berdiri, dan juga jatuh.

cerita kasih antara dua gusi,
memang cerita terpasuk keras macam besi.

saya sudah berubah, adakah?
saya mahu berubah, sudahkah?
saya perlu perubahan, bagaimanakah?

tika bumi rata ini dilewati tapakmu
anak mata ini tidak lagi hitam

ia berubah putih,
terpesona dengan indah wajahmu,
wajah yang mampu mengalihkan fantasiku,
terus ke dalam fantasi baru mu.

namun, sepohon epal hijau,
pasti ada satu buruknya.

itu semua sudah takdir,
kata saintis ianya adalah realiti,
bukan semua itu wangi,
wangi itu wujud dek hilangnya busuk.

busuk itu saya.
busuk itu perihal saya.

nyata, semuanya perkara biasa,
cuma perlu aku terima kebenarannya.

saya peram epal busuk itu,
namun putih mata itu tetap ada.
kini, hanya tinggal masa untuk menentukanya,
adakah mata itu mati berputih,
atau hitam dia akhir busuknya.



- anak lipas

July 22, 2009

jelik dengan iklan cepat kaya ini (bio aura HAI-O)

siapa tidak pernah tertonton iklan ini dikaca televisyen malaysia, sila angkat kaki. jangan angkat tangan, kerana mungkin bau ketiak kamu tidak menyenangkan.

hujah saya : iklan ini membawa berita 'kami jutawan cepat kaya'

kenapa begitu? oh, mari saya terangkan berdasarkan pemerhatian dua biji mata kecil ini. iklan ini dikatakan membawa berita 'jutawan cepat kaya' kerana iklan tersebut menceritakan perihal mereka sekeluarga yang menjadi kaya raya dengan mendaftar sebagai ahli Hai-O. bukan begitu?

kononnya, dahulu kurang berada,
namun kini semuanya kereta berjenama.

kononnya, dahulu rumah kecil,
namun kini ada banyak hasil.

kononnya, dahulu budak kampung,
namun kini dah tak perlu tanam terung.

ergh.

bukan apa. saya kurang senang dengan iklan tidak senonoh itu kerana ia tidak, Tidak, TIDAK, LANGSUNG TIDAK menceritakan perihal produknya itu. kotak bio-aura itu. kotak bio-aura yang kononya sungguh bagus dan berjenama itu. bukankah itu sumber kewangan mereka. bukan?

ada iklan itu menceritakan bertapa hebatnya kotak aura itu. ada? jika ada, tunjuk pada penonton. terutamanya penonton yang gilakan wang dan cepat kaya itu. cepat, tunjukkan!

kamu tahu berapa harga kotak aura itu? RM 2000+. huagh! ceritakan pada kami semua, teknologi apa yang digunakan sehinggakan harganya RM 2000+ itu. cepat cerita! barulah berbaloi dengan apa yang dikatakan produk berjenama. bukan tidak percaya, namun ingin tahu. sebabnya kamu tidak cerita.

iklan KFC kata ayamnya sedap. mereka tunjuk apa yang sedap dan mengapa. nampak perbezaan disitu?

semua ini adalah konspirasi MLM. apa itu MLM? ia bermaksud Pemasaran-Bertingkat-Tingkat. faham? atau kata mat salleh, multi-level-marketing.

malaysia ada banyak syarikat seperti ini. kononya ada produk yang bagus. namun, mana produknya? mana kebagusan produknya? hanya kekayaan yang diwar-warkan.

lebih-lebih lagi, masyarakat melayu yang banyak malasnya suka 'cepat kaya' ini. nak suruh jadi buruh binaan? jangan harap. malas. kerja kuar nasi lemak? malas. pemandu kereta? malas. apa yang mereka mahu, duduk di warung, minum pepsi (zaman moden) dan masuk duit. hujung bulan ada RM10,000. goyang buntut sahaja.

hmm.
ada sesiapa yang tidak faham? sila tinggalkan pandangan anda.

July 21, 2009

Tanggapan Ortodok? Buang tabiat?

saya ade terserempak belog seorang wanita. dia baru sahaja mula bertudung. maksud saya, sejak kecil, dia sudah pandai bertudung, cuma ada pasang surutnya. ikut suka hati. namun, tidak sekarang.

dia ada bercerita, dalam proses untuk bertudung secara keseluruhannya, dia melalui pelbagai tohmahan. ada mulut-mulut yang berkata itu hanya luaran, ada yang berbicara itu hanyalah angan-angan, ada juga yang bertutur kata yang dia hanya tunjuk-tunjuk alim sahaja.

alhamdulillah, dia mampu tempuhi dugaan itu. syukur alhamdulillah.

namun, apa yang tergerak di hati saya tentang mulut-mulut yang bertutur itu. bukankah kita sepatutnya menolong dan menyokong manusia yang berbuat kebaikan? bukannya dengan berprasangka buruk, malah cuba menjatuhkan kelakuan baik beliau?

mungkin, sedari berkenaan pada awalnya hanyalah untuk suka-suka. kita tidak tahu niatnya. namun, kita seharusnya mendorong beliau untuk meneruskan perbuatan baik itu, bukan?

sepatutnya, kita sentiasa berdoa supaya hatinya dibuka dan mendapat rahmat untuk terus bertudung.

alahai. kamu kata dia hanya hangat-hangat tahi cicak. tapi kamu, bertudung, bertutup aurat, namun hati kamu dimana? sekadar berhias? untuk menarik perhatian si lelaki?

fikir-fikirkan, dan renungkanlah.

July 19, 2009

Bersalaman Lain Jantina

idea ini mula dari belog ini (pautan).

bersalaman. bukankah itu perbuatan yang sungguh baik. namun, ia tetap ada hadnya. dulu aku sering keluar bersama teman-teman. ke bandar. ke luar bandar. untuk berjumpa orang -- kawan, dan lawan.

namun, tiap kali aku bertemu rakan baru, mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman. kononnya tanda mesra. tapi, aku risau kerana mereka itu semuanya bukan muhrim aku. sudah pasti ianya berdosa. aku sedar, tetapi aku buat-buat buta dan 'cool'. pada fikiran aku, takkan tak mahu aku sambut tangannya, nanti malu pula si dia.

tapi itu salah. kita patut jaga aurat dan sentuhan dengan bukan muhrim ini. ops. perihal kecemasan dan tangan-tangan pakar perubatan tidak mahu aku bising-bisingkan disini. aku tidak mahir bab yang itu.

kini, aku cuba untuk simpan tangan aku. aku balas dengan senyuman. aku harap si dia faham.

malangnya, aku jenguk dan telek tangan orang lain. makcik-makcik dan kakak-kakak. mereka dengan selamba sahaja bersalaman dengan kenalan lelaki aku. bertudung, beranak tiga, dan sudah hampir akhir usia.

adakah hukum ini tidak diaplikasikan bila kamu semakin tua?
adakah kamu berkata 'alahai, takpe..'
adakah itu tanda hormat?

biar apa pun, aku sudah bina pendirian aku. cuma, bila yang tua hulur, aku rasa kekok kerana mungkin dia akan malu jika aku tidak sambut tangannya. bagaimana? dengan pakcik aku? dengan sepupuku?

bagaimana harus aku jelaskan pada mereka?
kini, aku terus senyum sahaja. aku harap mereka dapat akalnya kenapa aku berbuat begitu.

senyum itu sedekah. tengok, aku bukan sahaja jaga sentuhan aku, malah bersedekah pula.
*senyum*

July 18, 2009

Lima, Enam, Tujuh dan Lapan

Lima itu Rukun Islam yang kita belajar semenjak anak kecil,
Enam itu Rukun Iman yang kita tahu ada pasang surutnya,
Tujuh itu jumlah hari dalam seminggu,
Lapan itu tamak : 8 hari dalam seminggu kerana manusia tidak pernah rasa cukup

ramai kenalan aku mula sambung pelajaran mereka. semoga mereka sentiasa cukup dengan masa yang telah diperuntukkan, iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 hari setahun.

insyallah, aku doakan kamu semua berjaya, termasuk kamu yang hitam. aku doakan kamu akan kembali putih.

Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang-orang yang tahu dan tidak tahu?

Demi sesungguhnya orang-orang yang (sentiasa) ingat (kepada Allah) ialah orang yang mempunyai akal (berilmu).

(az-Zumar: 9)

July 17, 2009

Satu, Dua, Tiga, Empat


satu
perihal aku ingin bising-bisingkan,
dua alam ini Dia yang punya,
tiga penjahat yang harus kamu kenal: manusia, syaitan dan jin
empat perkara yang mahal: ilmu, akal, hati dan iman

---

pesan atok kepada irham;

jodoh itu ada tiga:
  1. pertama : jodoh syaitan - iaitu jodoh hasil perbuatan maksiat
  2. kedua : jodoh bomoh - iaitu jodoh gunaan jin dan sihir
  3. ketiga : jodoh Allah - dimulakan dengan rasa cinta / suka, langsung ikhlas meminang dan bernikah

syurga cinta


July 12, 2009

Dah Kawin Ke Belum?

maaf. banyak hari aku tidak mengemaskini belog ini. bukan malas. cuma, aku tidak mahu bebel-bebel perihal harian. belog ini bukan diari harian aku. belog ini untuk aku utarakan idea-idea dari segumpalan neuron dibadan ini.

aku banyak memerhati sejak kebelakangan ini. Dan pastinya, perihal ini sudah lama aku jeling-jelingkan dan cuba rumuskan.

hari ini, aku ingin berkongsi pendapat. Berkongsi idealogi. Bukannya berkongsi Maggi, atau choki-choki. Dan bukan juga berus gigi. Itu menggelikan dan kotor.

apa, kamu-kamu tahu akan perihal remaja berpegangan tangan? berpelukan? bercumbuan?

semua ini boleh aku tenung dan jeling di seluruh pelusuk kuala lumpur ini. Oh ya, sebelum aku merepek panjang, ingin aku tegaskan yang aku maksudkan adalah remaja yang beridentitikan islam pada kad pengenalan mereka.

apakah mereka sudah lupa agama? lupa pada laranganNYA? itu semua persoalan yang sering timbul di pucuk akal mentahku.

bertudung rapi, cantik, anggun, kemas, menawan. si lelaki, segak, bergaya, tampan dan bertutup kepala. bukan songkok atau kopiah. tetapi topi. namun, hari ini aku bukan berkata tentang pemakaian. tetapi akhlak.

tidakkah mereka berasa malu, membawa nama islam itu pada seluruh dunia, namun kelakuannya sungguh bercanggah dan menyimpang dari ajaranNYA? apakah, islam itu mereka yang punya? apakah, balasan dosa itu mereka yang tentukannya? aku bingung dan tertanya mengapa.

mungkin, dalam anggapan aku, mereka sudah bernikah. halal untuk bersentuhan kulit antara bukan muhrimnya. namun, tidak kelihatan dimataku cincin kahwinnya. surat nikahnya. atau apa sahaja yang membukti bahawa mereka itu tidak berkelakuan luar adatnya. umurnya kelihatan muda. berbelas-belasan. namun, sudah berlagak puluhan. atau berlagak seperti, perempuan atau lelaki itu adalah miliknya.

sesungguhnya, orang pernah memandang si perempuan bertudung sebagai perempuan yang dihormati. yang menjaga maruah dan tatasulilanya. namun tidak kini. ramai yang bertutup rapat. keliling kepala dan leher. namun tidak boleh dihormati kerana mereka sendiri tidak menghormati maruah mereka. dijaja. dijual murah. malah, ada yang diberi percuma.

aksi berpeluk-pelukan yang menjengkelkan. pada pendapat aku, lagaknya lebih 'mesra' berbanding mat salleh. dimanakah letaknya agama mu? maruah mu? malu mu?

aku malu. malu dengan agama lain yang mengatakan orang islam itu sendiri yang merosakkan agamanya. yang pusing arah dari haluannya. yang berkata agamanya suci dan agung, namun diri sendiri yang busukkan agamanya.

ini baru remaja. aku belum sentuh yang tua. dalam perihal agama dan akhlak, umur bukan penghalang.

muda. tua. sama sahaja. jangan buat endah tak endah. takutlah pada keESAan NYA.

itu semua, aku yang dulu.

kamu bagaimana?

July 06, 2009

Ada Yang Menipu Dan Tertipu

ini sesuatu yang aku sungguh sedih. ada yang sanggup menipu, dan ada juga yang tertipu. aku bukan ingin bising, tetapi aku sudah tidak tertahan lagi. cerita ini harus aku tunjuk satu kebenaran.

identiti aku ditiru. disalin. dibuat alat menipu mata dan akal manusia lain.

apa tujuannya aku tidak tahu. namun, aku pasti, itu bukan perihal aku, dan bukan hasil tangan-tangan aku.

ada yang memdaftar sebagai Nur Sarah Farhana di Mukabuku (Facebook).

mungkin, kamu kata itu orang lain. aku boleh terima. namun, gambarnya sama dengan gambar dari belog ini. emailnya pula 'anakoflipas', iaitu ternyata dari nama timangan aku disini, Anak Lipas.

sesungguhnya, kepada sesiapa yang tertipu, dan jikalau kamu menganggap itu aku, ternyata kamu salah dan telah diperbodohkan oleh perseorangan / sekumpulan yang cuba meniru kehadiran aku disini.

mukabuku milik aku sudah lama terbuang dan itu ternyata bukan alamat email aku. kesian. aku kesian kepada pemangsa, dan juga mangsa.

July 02, 2009

Anak Mama atau Anak Ayah?

aku mulakan entri kali ini dengan satu persoalan.

aku Anak Mama atau Anak Ayah?

Bukan apa, sering kali aku terdengar dari perbualan rakan-rakan sekeliling aku perihal 'kamu anak siapa' ini. Jangan kamu salah anggap, kerana semestinya aku mestilah anak kedua ibubapa aku, namun begitu, aku berpihak pada siapa, atau lebih rapat dengan yang mana. Itu yang aku persoalankan.

aku Anak Mama
adakah aku anak mama, kerana mama yang melahirkan aku? yang menyusukan aku? yang berpeluh dan bertarung nyawa ketika melahirkan aku? sesungguhnya, banyak keputusan aku adalah dibawah pengaruh mama. aku acap kali akan bertanya akan mama, dalam membuat keputusan aku.

keluar membeli-belah. ke pasar. berkongsi perasaan dan masalah. adakah semua itu bermaksud aku anak mama?

aku Anak Ayah
ayah adalah tempat aku mengadu perihal kewangan. perihal pelajaran. perihalan setia kawan. ayah sering membelikan aku hadiah, dikala dia pulang dari luar negara atau sekadar ke pulau-pulau di malaysia.

ke majlis makan malam, perkahwinan atau sebagainya, aku akan ikut ayah. kemana dia pergi, disitulah aku. perihal logik dan hal semasa, aku akan bertanyakan pada ayah.


sesungguhnya, adakah perbuatan diatas itu membuatkan aku lebih berpihak kepada mama? atau kepada ayah? atau aku bukan kedua-duanya?

aku tanya semula, aku anak siapa?